Kepala Batas : Beberapa hari yang lalu keluarga Puan Azizah Binti Awang telah terlibat dalam musibah kebakaran.
Lintar pintas dilaporkan sebagai punca kebakaran yang bermula dari meter utama rumah mereka. Kebakaran telah disedari oleh jiran pada awal jam 3 pagi pada hari tersebut. Dilaporkan seluruh keluarga Puan Azizah selamat dan tiada sebarang kemalangan jiwa terlibat. Bertambah sukar, salah seorang dari ahli keluarga ini adalah pesakit dialisis yang terpaksa berulang-alik ke hospital bagi menerima rawatan Hemodialisis.
Zakat Pulau Pinang yang diwakili Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, YB Dato’ Ir. Haji Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman turun menziarahi keluarga ini untuk menyalurkan bantuan kecemasan berupa wang tunai dan inshaAllah bantuan susulan akan menyusul. Semoga dengan bantuan ini dapat meringankan beban yang ditanggung keluarga ini.
Alhamdulilah, terima kasih kepada pembayar zakat kerana wang zakat yang anda tunaikan dapat membantu mereka yang memerlukan.







