Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah & Sumbangan Ihya’ Ramadan Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tahun 1446H/2025M berlangsung dengan penuh meriah di Dewan Masjid Al-Muhajirin, Seberang Jaya.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh YBhg. En. Mohamad Kairi Ghazalli, Ketua Pegawai Projek Zakat MAINPP yang kini menjalankan tugas-tugas Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP. Seterusnya, ucapan penyempurnaan majlis disampaikan oleh YB Dato’ Dr Mohamad bin Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang merangkap Yang Di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).
Sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan negeri dalam memperkasa pengimarahan masjid sepanjang Ramadan, majlis turut menyaksikan penyampaian cek cura sumbangan pengimarahan masjid oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Sumbangan ini bertujuan untuk membantu masjid-masjid dalam penyediaan kemudahan serta pelaksanaan aktiviti keagamaan sepanjang bulan Ramadan, termasuk solat tarawih dan program Ihya’ Ramadan.
Selain itu, Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) turut menyampaikan anugerah-anugerah khas kepada masjid-masjid yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam pengurusan serta aktiviti keagamaan sepanjang tahun. Anugerah ini diberikan sebagai penghargaan terhadap usaha masjid dalam memperkukuh institusi keagamaan dan kebajikan masyarakat setempat.
Pelbagai taklimat turut disampaikan sepanjang program, antaranya berkaitan pengurusan wakaf, zakat fitrah, serta peranan dan tanggungjawab amil.
Majlis diakhiri dengan sidang media pengumuman kadar zakat fitrah serta penyampaian dokumen-dokumen dan tauliah kepada amil kariah sebelum bersurai.