Sebanyak RM4,248,900 diperuntukkan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang melalui agensinya, Zakat MAINPP bagi membantu seramai 3,937 orang penerima dalam kalangan asnaf fakir dan miskin, di mana setiap penerima menerima wang tunai sebanyak RM700 beserta hamper bernilai RM100. Selain itu, sepanjang Ramadan ini, sumbangan hamper turut akan diberikan kepada seramai 15,000 orang penerima, dengan jumlah peruntukan zakat sebanyak RM1.5 juta.
Program Agihan Zakat Nur Ramadan 1446/2025 berlangsung meriah di Dewan Wisma Al Ansar, Masjid Seberang Jaya. Majlis ini telah dihadiri seramai lebih 200 orang asnaf dari kariah yang berhampiran. Majlis yang diadakan di Dewan Al-Ansor, Masjid Al-Muhajirin, Seberang Jaya ini turut diserikan lagi dengan kehadiran YB Dato’ Dr Mohamad Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang merangkap YDP Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) yang menyempurnakan penyerahan bantuan kepada penerima.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan ucapan aluan oleh Encik Mohamad Kairi Ghazalli, Ketua Pegawai Projek Zakat MAINPP yang menjalankan tugas Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP.
Program yang dianjurkan setiap tahun ini bertujuan meringankan beban golongan asnaf menjelang Ramadan dan memastikan mereka dapat menyambut bulan mulia ini dengan lebih sempurna dan sejahtera. Majlis berakhir dengan sesi bergambar dan interaksi Dato’ Dr Mohamad bersama penerima bantuan.