Majlis Ini telah berlangsung petang tadi di The Light Hotel dan disempurnakan oleh YB Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.
Dalam ucapan YB Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid turut menyeru syarikat-syarikat dan institusi korporat agar dapat bersama-sama dengan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dalam SKIM WAKALAH yakni dasar pengembalian semula wang zakat oleh MAINPP kepada entiti yang membayar zakat kepada ZPP untuk diagihkan sendiri kepada asnaf yang layak mengikut terma dan panduan yang ditetapkan.
Divisyen Projek Khas yang diketuai oleh Ketua Pegawai Projek merangkumi Jabatan Projek Khas dan Jabatan Kelestarian dan Kesejahteraan Asnaf. Kedua-dua jabatan ini berperanan untuk
memperkasakan pengoperasian projek-projek dan institusi agihan zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.
Melalui transformasi ini, Jabatan Kelestarian dan Kesejahteraan Asnaf dipertanggungjawabkan menguruskan dan memperkasakan operasi tiga institusi utama daripada projek agihan zakat iaitu Bahagian Perkhidmatan Kesihatan yang mempunyai Pusat Hemodialisis Zakat (PHZ), Inapan Kasih Sayang (IKS) iaitu asrama anak-anak asnaf, dan seterusnya pengurusan pusat jagaan warga emas Darul Hanan.
Jabatan Projek Khas pula berfungsi dan berperanan mengurus dan mengendalikan tugas pengagihan zakat melalui pembangunan modal insan yang merangkumi pembangunan ekonomi, keusahawanan, kemahiran (TVET) dan pendidikan (Profesional) dalam kalangan kumpulan peniaga kecil dan belia, dengan beriltizam melahirkan usahawan zakat dan belia yang berjaya sebagai muzakki. Jabatan ini juga sentiasa melihat potensi dan peluang kerjasama dengan pelbagai agensi secara dua hala dalam memastikan pelbagai program yang dilaksanakan membuahkan hasil sebaiknya.
Dalam majlis pelancaran yang diadakan, Zakat Pulau Pinang turut meraikan rakan- rakan sinergi yang terdiri dari 50 buah syarikat dan institusi korporat serta agensi yang telah menyokong usaha dan iltizam Kerajaan Negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, dalam memastikan projek agihan zakat terus berjalan di negeri Pulau Pinang.
Penubuhan Divisyen Projek Khas ini adalah komitmen Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dalam menempatkan landasan bagi agenda kelestarian projek agihan zakat. Semakin cekap dan berkesan kutipan dan agihan zakat, akan memberikan kesan yang lebih besar kepada masyarakat, ekonomi dan alam sekitar, serta mewujudkan nilai yang lebih besar dalam jangka panjang.
Semoga usaha ini diberkati dan mencapai matlamat yang telah kita sasarkan.





