Program Sembang Santai Alumni Inapan Kasih Sayang Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (IKS MAINPP) yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Transformasi & Pemerkasaan Asnaf dan Jabatan Kelestarian & Kesejahteraan Asnaf Zakat MAINPP telah berlangsung dengan jayanya.
Program ini berjaya menghimpunkan seramai 50 orang alumni IKS MAINPP dari alumni keluaran pertama tahun 2012 hingga alumni keluaran tahun 2018, yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, daripada yang bakal melanjutkan pengajian ke IPT, sehinggalah alumni yang telah berkeluarga.
Objektif utama program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada para alumni mengenai peluang-peluang yang disediakan oleh Zakat MAINPP yang boleh dimanfaatkan dalam pembangunan pendidikan dan program keusahawanan.
Ucapan aluan telah disampaikan oleh Tuan Haji Omar Ibrahim Khalid, Pengurus Besar Jabatan Kelestarian dan Kesejahteraan Asnaf sementara sesi sembang santai telah dikendalikan oleh Encik Ruslan Harun, Pengurus Besar Jabatan Transformasi dan Pemerkasaan Asnaf.
Sesi soal jawab turut berlangsung secara aktif, di mana para alumni mengambil peluang mengajukan pelbagai persoalan berkaitan peluang menyambung pelajaran, program penajaan dalam bidang TVET serta bantuan keusahawanan bagi mereka yang sedang menjalankan perniagaan.