Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) telah mengadakan kunjungan rasmi ke MSM Prai Berhad bagi memperkukuh kerjasama dalam pembayaran zakat serta pelaksanaan tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Delegasi Zakat MAINPP diketuai oleh Ketua Pegawai Projek Zakat MAINPP, En. Mohamad Kairi Ghazalli, yang menjalankan tugas Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP buat masa ini. Turut serta dalam kunjungan ini ialah En. Muhammad Asyraf Abdul Wahab, Pengurus Besar Jabatan Operasi Kutipan Zakat MAINPP, dan En. Ruslan Harun, Pengurus Besar Jabatan Projek Khas Zakat MAINPP.
Pihak MSM Prai Berhad pula diwakili oleh Mr. Cheah Poh Lye, Head of Operations Department Prai; Mr. Vignes A/L Chellamuthu, Lead HSE Department; dan En. Asmawy Bin Ariffin, Head of Engineering Department.
Dalam sesi perbincangan, kedua-dua pihak membincangkan pelbagai aspek berkaitan zakat perniagaan, dengan tumpuan khusus kepada Skim Wakalah Zakat MAINPP. Skim ini membolehkan syarikat yang menunaikan zakat menyalurkan kembali sebahagian daripada jumlah zakat mereka untuk diagihkan kepada golongan asnaf melalui program CSR syarikat.
MSM Prai Berhad menunjukkan minat terhadap skim ini sebagai sebahagian daripada komitmen syarikat dalam membantu masyarakat setempat. Pihak Zakat MAINPP turut menerangkan manfaat serta prosedur pelaksanaan skim ini, bagi memastikan zakat yang dibayar oleh syarikat memberikan impak yang lebih signifikan kepada komuniti.
Menurut En. Mohamad Kairi Ghazalli, kerjasama dengan syarikat korporat seperti MSM Prai Berhad amat penting dalam memperkukuh peranan zakat sebagai instrumen pembangunan sosial dan ekonomi.
“Kami berharap MSM Prai Berhad dapat menyertai Skim Wakalah ini bagi memastikan bantuan zakat dapat disalurkan secara lebih efektif kepada mereka yang memerlukan, sekaligus memperkasakan tanggungjawab sosial syarikat,” katanya.
Kunjungan ini diakhiri dengan sesi lawatan delegasi Zakat MAINPP ke sekitar kilang pemprosesan gula MSM Prai Berhad. Pihak Zakat MAINPP berharap kerjasama ini dapat diteruskan dan diperluaskan demi kesejahteraan masyarakat setempat serta pembangunan ekonomi negeri Pulau Pinang.