PERMATANG PAUH – YB Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, hari ini menziarahi Adik Khayla Adha Mirza Imran, pesakit Osteogenesis Imperfecta (OI) atau penyakit tulang rapuh yang turut mendapat perhatian beliau sejak Mei tahun lalu.
Beliau mengalami fraktur (patah tulang) yang menyebabkan kesakitan dan kecacatan, sehingga dia tidak dapat berjalan. Walaupun, ubat-ubatan terkini digunakan untuk menguatkan tulang beliau tetapi keadaannya tidak dapat disembuhkan. Beliau mungkin akan terus mengalami lebih banyak fraktur serta menjadi lebih kurang upaya.
Dalam lawatan penuh kasih itu, Dato’ Dr. Mohamad menyampaikan sumbangan tambahan one-off sebanyak RM10,000 bagi membantu menampung kos ubat-ubatan yang masih diperlukan oleh adik Khayla bagi meneruskan rawatan Perubatan Regeneratif (proses penggantian, kejuruteraan atau regenerasi sel, tisu atau organ manusia untuk memulihkan atau menubuhkan fungsi normal).
Terdahulu pada Mei tahun lalu, Dato’ Dr. Mohamad menyantuni keluarga ini dan menyampaikan bantuan Zakat dari Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) berupa RM2,000 sebulan bagi keperluan asas seperti susu khas dan lampin pakai buang, yang boleh dituntut dari farmasi panel lantikan Zakat MAINPP.
“Alhamdulillah, keadaan adik Khayla semakin baik,” ujar ayah beliau dengan penuh syukur, menggambarkan betapa besarnya harapan yang disandarkan pada doa dan sokongan orang ramai.
Adik Khayla pula memohon doa daripada orang ramai agar dirinya terus diberi kesihatan dan kekuatan. Dalam senyumannya yang tabah, terlukis harapan yang besar – untuk kembali sihat dan menjalani hidup seperti kanak-kanak lain.
Semoga dengan sumbangan bantuan ini meringankan beban keluarga adik Khayla. Inilah bukti bahawa dengan sedikit kasih dan sokongan, kita mampu menyuntik semangat besar dalam jiwa yang kecil.