Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) terus menunjukkan komitmen dalam memperkasa pembangunan ummah apabila turut diberi kepercayaan menjadi ahli MPIHPP sebagai salah satu daripada 25 jabatan dan agensi terlibat.
Majlis pelancaran rasmi MPIHPP yang telah berlangsung di The Light Hotel telah disempurnakan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang juga merupakan Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia. Penubuhan MPIHPP merupakan usaha strategik ke arah penyelarasan dan pembangunan industri halal yang lebih efisien di peringkat negeri Pulau Pinang.
Surat Pelantikan telah diterima oleh Ketua Pegawai Eksekutif Zakat MAINPP, En. Mohamad Kairi Ghazalli.
Idea penubuhan majlis ini dicetuskan dalam Mesyuarat Pembangunan Industri Halal Malaysia Bil. 2/2024 pada Disember lalu, apabila YB Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, mencadangkan agar setiap negeri menubuhkan majlis pembangunan industri halal masing-masing bagi memperkukuh koordinasi dengan majlis di peringkat pusat. Cadangan tersebut telah diterima dan diluluskan oleh Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam mesyuarat berkenaan.
Susulan itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membawa cadangan tersebut ke Mesyuarat EXCO Negeri pada Januari 2025, dan ianya telah diluluskan sebulat suara.
Sehingga April 2025, sebanyak 870 syarikat berstatus sijil halal aktif telah berdaftar di Pulau Pinang, meliputi pelbagai sektor seperti makanan dan minuman, premis makanan, farmaseutikal, kosmetik, barang gunaan, rumah sembelihan, logistik dan peranti perubatan. Pulau Pinang juga menjadi satu-satunya negeri yang menyediakan proses permohonan bagi kesemua 9 skim Pensijilan Halal Malaysia di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Semoga dengan penglibatan Zakat MAINPP dalam MPIHPP dapat menyokong pembangunan industri halal yang bukan sahaja memberi impak ekonomi, tetapi turut memperkasa sosioekonomi umat Islam di negeri ini.