Bayan Lepas, 11 April 2025 – Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menyerahkan 8,740 unit tablet kepada 263 sekolah di Pulau Pinang dengan kos keseluruhan RM6.51 juta, dalam satu majlis yang berlangsung di Olive Tree Hotel hari ini.
Majlis Penyerahan Sumbangan Peranti Tablet Zakat tersebut dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, YB Dato’ Dr. Mohamad bin Abdul Hamid, merangkap Yang Dipertua MAINPP. Turut hadir beberapa tokoh penting negeri dan wakil agensi berkaitan pendidikan serta pengurusan zakat.
Projek tablet zakat ini merupakan usaha sulung MAINPP dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, bagi menyediakan akses kepada buku teks digital dan memperkasa inisiatif Smart Classroom di sekolah-sekolah. Tablet ini turut menyokong pelaksanaan dasar pendidikan KPM serta Agenda Pembangunan Agama Islam Pulau Pinang (APAI2030).
Ketua Pegawai Projek Zakat MAINPP, Ustaz Mohamad Kairi bin Ghazalli, menyatakan bahawa program ini adalah antara bentuk agihan zakat berimpak tinggi yang bertujuan meningkatkan celik teknologi dalam kalangan murid dan guru, sejajar dengan aspirasi Penang2030 ke arah negeri pintar dan hijau.